Faktor-faktor Kemunculan Nasionalisme pada abad ke-20


SEJARAH MALAYSIA STPM

Soalan : Membincangkan Faktor-Faktor Kemunculan Nasionalisme Pada Abad Ke-20.

Pendahuluan
Nasionalisme bermaksud perasaan cinta akan bangsa dan Negara sendiri yang mendalam. Nasionalisme juga bermaksud pergerakan untuk mencapai kebebasan ekonomi dan politik daripada kuasa asing. Semangat nasionalisme ini wujud hasil daripada keinginan untuk menebus maruah bangsa dan Negara seterusnya membentuk masa depan sesebuah Negara dan bangsa. Pada tahun 1900 sehingga tahun 1941, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kemunculan semangat nasionalisme. Antaranya faktor agama, bahasa dan kesusasteraan, akhbar dan majalah, pengaruh pendidikan, pengaruh golongan intelektual dan pengaruh luar.

A. Faktor agama
Faktor agama memainkan peranan penting menyatukan orang melayu terutama pada peringkat awal kesadaran kebangsaan di tanah melayu. Golongan berpendidikan arab yag mendapat pendidikan dari Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir memainkan peranan penting dalam gerakan pemulihan dalam kalangan masyarakat melayu. Penuntut- penuntut melayu yang terpengaruh Shyeik Muhammad Tahir bin Jalaluddin, Syed Syeik Ahmad Al-Hadi, Haji Abbas Muhammad Taha, dan Syeik Mohd Salim Al-Khail.

Apabila kembali ke Tanah Melayu mereka memulakan satu usaha yang menyeru agar masyarakat islam kembali kepada ajaran islam yang sebena, iaitu berasaskan Al-quran dan Hadis. Golongan ini lebih dikenali sebagai Kaum Muda. Kaum Muda mendakwa kemunduran orang melayu adalah kerana mereka tidak mengamalkan ajaran islam yag sebenar dan telah mencampuradukkan antara agama dan adat. 
Kaum Muda telah menerbitkan Majalah Al-Imam yag bermaksud ‘Pemimpin’ supaya dapat memainkan peranan menyedarkan orang melayu dengan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada mereka.

B. Akhbar dan majalah  
Sepanjang tahun 1930-an hingga tahun 1940-an terdapat lebih kurang 80 buah akhbar dan majalah yang diterbitkan seperti Majlis, Warta Malaya, Utusan Melayu, Warta Negara, Majalah Guru, dan Al-Imam. Akhbar dan majalah ketika itu memainkan peranan penting dalam menyalurkan penadapat, memberi ilmu pengetahuan, dan menyampaikan mesej kepada orang Melayu. Akhbar dan majalah dijadikan sebagai medan perbahasan bagi membincangkan masalah orang melayu, menyebarkan idea nasionalisme dan menyatukan orang melay. Tokoh-tokoh wartawan seperti Ishak Haji Muhammad Ahmad Boestaman, dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi.

C. Peranan Bahasa dan  Kesusasteraan
Golongan nasionalis di Tanah Melayu menggunakan bahasa dan kesusasteraan seperti cerpen, novel, puisi dan syair untuk memperjuangkan nasib orang Melayu selain dijadikan hiburan. Melalui kesusasteraan, penulis berusaha untuk menyedarkan masyarakat Melayu tentang kemunduran dan membangkitkan kesedaran untuk memajukan diri dan bersatu padu.
Syed Syeik al-Hadi dalam novelnya yang terkenal iaitu Hikayat Faridah Hanum telah menerapkan nilai-nilai tentang memperjuangkan kebebasan wanita dan diberi hak yang sama dengan kaum lelaki terutama dalam bidang pendidikan.

Dalam cerpen Ishak Haji Muhammad iaitu Rumah Besar Tiang Seribu telah mempamerkan sikap yang lebih jelas dan berani menentang pihak penjajah. Selain itu, sikap anti-penjajahan Ishak Haji Muhammad juga dapat dilihat dalam novel sindirannya atau dikenali sebagai satira politik yang berjudul Putera Gunung Tahan (1937). Beliau telah menceritakan tentang kelemahan pemimpin Melayu tradisional dan ketidakjujuran British dalam dasar pemerintahan di Negeri-negeri Melayu. Novel ini secara inplisit mengecam pihak British yang menggunakan penguasaan politik untuk mengeksploitasikan ekonomi Tanah Melayu dan mengutuk pihak British kerana tidak jujur dalam menjalankan dasar penjajahan.

Sebelum Perang Dunia Kedua, banyak puisi yang bertemakan semangat kebangsaan dihasilkan dan disiarkan dalam akhbar dan majalah. Puisi-puisi ini bertujuan untuk menyuburkan perasaan cinta akan bangsa dan negara, menyeru merebut peluang ekonomi, dan mempertahankan maruah bangsa. Antara puisi ialah Tenaga Kaum Ku,Rayuan Bangsa Mu, Mempertahankan Hak Kita, dan Perwira Melayu yang ditulis oleh Harun Aminurrashid.
Melalui penulisan novel dan cerpen, kesedaran kebangsaan dapat disampaikan dalam kalangan masyarakat dengan lebih berkesan. Karya-karya sastera yang bertemakan semangat perjuangan , nasib bangsa, dan semangat cinta akan tanah air telah menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang melayu. Oleh itu, Golongan guru, penulis, dan wartawan menjadikan karya kreatif ini sebagai saluran untuk menyuarakan perjuangan orang Melayu.

D. Peranan Pendidikan
Perkembangan pendidikan telah melahirkan golongan intelektual yang memainkan peranan penting dalam membangkitkan gerakan nasionalisme Melayu di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.

a. Sistem pendidikan agama
Merupakan sistem pendidikan masyarakat Melayu yang terpenting dan lebih dikenali sebagai sistem pondok dimana pondok dijadikan sebagai pusat pendidikan dalam kalangan masyarakat Melayu. Selepas tamat pengajian di pondok, orang Melayu akan melanjutkan pendidikan ke Timur Tengah, sama ada di Makkah atau di Mesir. Antara tokoh nasionalis dalam sistem pendidikan ini ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi, dan Haji Abbas Muhammad Taha. Semasa di Timur Tengah, mereka dipengaruhi oleh Gerakan Reformis Islam yang dianjurkan oleh Syeikh Muhammad Abduh iaitu pensyarah  di Universiti Al-Azhar. Apabila mereka kembali ke Tanah Melayu, mereka ingin melihat pemulihan dalam agama Islam. Perjuangan mereka untuk memajukan masyarakat Islam melalui pemulihan dalam agama Islam disalurkan melalui akhbar dan majalah seperti Neracha, Idaran Zaman, Pengasuh dan Al-Imam.
b. Sistem pendidikan Inggeris
Perkembangan sistem pendidikan Inggeris di Tanah Melayu dan Singapura telah melahirkan golongan intelektual berpendidikan Inggeris. Golongan ini mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Mereka yang berada di Singapura mendapat pendidikan inggeris di Raffles Institution. Antara tokoh yang mendapat pendidikan Inggeris ialah Raja Chulan dan Mohammad Eunos Abdullah. Mohammad Eunos Abdullah merupakan ahli Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Selat dan Raja Chulan merupakan ahli Majlis Perundangan Persekutuan. Mereka menggunakan peluang yang ada dalam sistem pentadbiran dan perundangan untuk menuntut hak orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan pentadbiran.
c. Sistem pendidikan Melayu
Sekolah Melayu di Tanah Melayu telah berkembang pada awal abad ke-20. Akibat daripada perkembangan ini, terdapat kekurangan dalam jumlah tenaga pengajar. Bagi memenuhi kekurangan ini, pihak British telah menubuhkan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1922. MPSI menjadi tempat perkumpulan dan pertemuan golongan intelektual Melayu, pergaulan dan perbincangan sesama mereka telah membangkitkan kesedaran ingin memajukan dan memperbaiki nasib orang melayu. Pensyarah-pensyarah di MPSI telah meyemarakkan semangat dan keazaman ini menyebabkan  Mereka sedar tentang kedudukan masyarakat Melayu yang berada di bawah cengkaman dan penindasan pihak British di samping terhimpit oleh kaum imigran.

E. Peranan Golongan Intelektual
Perkembangan sistem pendidikan telah melahirkan golongan intelektual Melayu yang terdedah kepada pelbagai idea dan falsafah politik daripada Barat seperti demokrasi, liberalisme, perlembagaan dan nasionalisme. Hal ini telah mendorong mereka untuk turut sama berjuang dalam memperbaiki kemunduran orang Melayu. Terdapat tiga golongan intelektual yang memainkan peranan penting dalam membangkitkan nasionalisme Melayu. Antaranya adalah golongan intelektual berpendidikan Timur Tengah, berpendidikan Melayu dan berpendidikan Inggeris. Kebanyakkan golongan ini terdiri daripada mereka yang mendapat pendidikan sekular Inggeris dan Melayu.
a. Golongan Intelektual berpendidikan Timur Tengah
Al-Imam yang mula-mula meniupkan seruan dakwah Islamiah di Tanah Melayu tidak mungkin muncul tanpa sokongan serta idea daripada tokoh yang mempelopori Gerakan Islah. Mereka adalah merupakan golongan intelektual yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah seperti Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Syeikh Muhammad Salim Al-Kalali. Perjuangan, peranan dan sumbangan golongan-golongan ini atau dikenali sebagai Kaum Muda adalah melalui majalah Al-Imam.

Dalam jilid pertama Al-Imam, Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin telah menyiarkan rencananya yang pertama iaitu Surat Terbuka Kepada Segala Ulama yang di mana beliau ingin membangunkan masyarakat Islam yang semakin ketinggalan jauh daripada bangsa asing. Beliau juga berpendapat bahawa kemunduran yang dialami oleh masyarakat Melayu adalah bukan disebabkan ketidakupayaan mereka untuk bersaing dengan kaum asing tetapi adalah disebabkan oleh kelalaian dan kedaifan umat Islam untuk memahami lebih mengenai ajaran agama Islam dan golongan ini juga yakin bahawa umat Islam masih boleh diselamatkan jika diberi petunjuk kepada ajaran agam Islam yang benar.

Syed Syeikh al-Hadi telah menyuarakan pendapatnya melalui novel Hikayat Faridah Hanum atau Hikayat Setia Asyik Kepada Maksyhoknya yang mana keinginan muda-mudi Islam untuk menyesuaikan diri mereka dalam dunia moden dan novel ini juga membincangkan tentang betapa pentingnya wanita Islam moden diberikan kebebasan dan hak yang sama seperti kaum lelaki.

Seterusnya, kaum muda telah menubuhkan beberapa madrasah untuk menyebarkan idea mereka dengan lebih berkesan dan telah menggesa mewujudkan sistem pendidikan agama yang lebih liberal dengan memasukkan bahasa Inggeris dan mata pelajaran moden disamping bahasa Arab.

Idea mereka ini telah mendapat tentangan daripada Kaum Tua di mana Kaum Tua ini terdiri daripada ulama dan pegawai agama dan amat berpegang kuat kepada adat dan agama Islam yang membuatkan mereka tidak menerima idea Islah Kaum Muda. Kaum Tua telah menerbitkan akhbar Suara Benar dan Lidah Benar bagi menentang idea Kaum Muda. Perkara yang telah menimbulkan pertelingkahan antara dua kaum ini hanyalah perkara kecil dan tidak melibatkan perkara yang ada dalam agama Islam.

Namun begitu, Gerakan Islah oleh Kaum Muda hanya berkembang di Negeri-negeri Selat kerana undang-undang telah dikeluarkan di Negeri-negeri Melayu untuk menghalang kegiatan dakwah Islam tanpa kebenaran sultan dan menghalang sebarang risalah dan buku-buku daripada Kaum Muda. Pada pertengahan abad ke-20, perjuangan golongan ini semakin pudar walaupun mereka masih berjuang dan berperanan tetapi tidak lagi begitu penting. Perjuangan nasionalisme telah diambil alih oleh golongan intelektual berpendidikan Melayu dan Inggeris.

b. Golongan Intelektual Berpendidikan Melayu
Golongan intelektual berpendidikan Melayu adalah bersifat lebih radikal jika dibandingkan dengan golongan berpendidikan Timur Tengah dan Inggeris. Golongan ini menyedari bahawa perlunya mereka untuk menyumbang tenaga dan fikiran mereka untuk membangunkan bangsa Melayu untuk memajukan diri dan menentang penjajahan British.

Kebanyakan golongan ini telah lama terdedah dengan soal politik dan perkembangan nasionalisme di luar negeri dan mereka adalah juga merupakan golongan yang mendapat lulusan ataupun lepasan daripada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Golongan ini inginkan penyatuan dengan Indonesia dalam satu gabungan yang digelar Melayu Raya atau Indonesia Raya.

Ibrahim Haji Yaacob adalah merupakan bekas pemimpin pelajar di MPSI dan beliau pernah terlibat dalam dua pertubuhan bercorak politik semasa menuntu di MPSI iaitu Ikatan Semenanjung-Borneo (1929) dan Ikatan Pemuda Malaya (1930). Setelah meninggalkan MPSI, beliau telah menubuhkan Belia Malaya (1930) bagi memajukan taraf hidup orang Melayu dan menentang penjajahan British tetapi pertubuhan ini tidak kekal lama dan kemudiannya dibubarkan.

Setelah itu, beliau telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) iaitu parti politik pertama yang berhaluan kiri (1939). KMM ditubuhkan bertujuan untuk meggalakkan perpaduan dan meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan pemuda Melayu di seluruh Semenanjung. Perjuangan beliau telah mendapat sokongan nasionalis Melayu yang lain seperti Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Ishak Haji Muhammad telah menceburi bidang kewartanan dan bergiat aktif dalam kegiatan politik dan beliau banyak menyumbang rencana mengenai kehidupan orang Melayu di pantai Timur dan beliau juga menyeru orang Melayu untuk bersatu pada dan mengukuhkan semangat nasionalisme. Manakala Ahmad Boestamam juga aktif dalam kegiatan politik dan turut terlibat bersama ahli-ahli KMM dalam Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) yang berjuang untuk kemerdekaan bersama bagi Tanah Melayu dan Indonesia.

Tokoh nasionalis berpendidikan Melayu yang lain ialah Harun Aminurrashid dan Abdul Hadi Hassan. Beliau adalah seorang tokoh pejuang kebangsaan lepasan MPSI dan beliau meniupkan kesedaran kebangsaan melalui penulisan puisi beliau yang bertemakan semangat kebangsaan. Antaranya adalah Tenaga Kaumku, Rayuan Bangsa Mu, Mempertahankan Hak Kita dan Perwira Melayu. Manakala bagi Abdul Hadi Hassan, belaiu adalah merupakan seorang pensyarah MPSI dan beliau adalah seorang tokoh yang menanamkan semangat cinta akan bangsa dan negara kepada pelajar-pelajarnya.

Usaha-usaha tokoh nasionalis ini telah menimbulkan kesedaran untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Mereka telah berganding bahu dengan golongan intelektual berpendidikan agama bagi menyumbang tenaga dan fikiran untuk memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Mereka juga mengadakan kerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dengan harapan Jepun dapat membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan British.

c. Golongan Intelektual Berpendidikan Inggeris
Perjuangan yang dipimpin oleh golongan intelektual berpendidikan Inggeris muncul apabila orang Melayu bimbang terhadap penguasaan ekonomi mereka oleh bangsa asing. Kesedaran ini muncul akibat zaman kemelesetan ekonomi dunia, dasar pengagihan kuasa British (desentralisasi) dan tuntutan memperoleh hak politik atau hak yang sama oleh orang Cina. Antara golongan intelektual berpendidikan Inggeris adalah Raja Chulan, Muhammad Eunos bin Abdullah, Dato’ Abdullah Haji Dahan dan Dato’ Onn bin Jaafar.

Tokoh-tokoh ini telah menyuarakan masalah-masalah sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh orang Melayu dan mereka juga telah menggesa British untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan membanyakkan peluang orang Melayu untuk menceburi perkhidmatan awam serta melantik lebih ramai orang Melayu sebagai pegawai dalam jabatan kerajaan.

Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsa (MCKK) telah melahirkan ramai cendekiawan bangsa Melayu yang menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan dan ada juga diantara mereka yang menceburi bidang politik demi memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Sebagai langkah ke arah kesedaran ini, Muhammad Eunos bin Abdullah, Tengku Abdul Kadir dan rakan-rakan yang berpendidikan Inggeris telah menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang bertujuan untuk memperjuangkan kemajuan dan kepentingan orang Melayu dalam bidang politik, pentadbiran dan pendidikan serta menjadi penghubung diantara orang Melayu dengan kerajaan Negeri-negeri Selat.

Ketika ini juga, orang Cina di negeri-negeri Selat telah menuntut hak yang sama dengan orang Melayu dan keadaan ini telah membimbangkan mereka. Demi menjaga kepentingan mereka di negeri masing-masing, Cawangan KMS telah ditubuhkan di Melaka dan Pulau Pinang. Golongan intelektual bangsawan Melayu dan pegawai tinggi kerajaan juga telah menubuhkan persatuan-persatuan Melayu pada peringkat negeri ( Persatuan Melayu Pahang dan Persatuan Melayu Kelantan).

Persatuan negeri telah ditubuhkan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu seperti di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Objektif utama penubuhan ini adalah untuk menggabungkan tenaga intelektual Melayu bagi membincangkan nesib orang Melayu soal ekonomi, pendidikan, dan perkhidmatan kerajaan.

F. Pengaruh Luar

1. Gerakan Islah Islamiah di Timur Tengah
Golongan kesedaran Melayu yang muncul pada awal abad ke-20 dipelopori oleh golongan yang menganjurkan gerakan Islah Islamiah. Gerakan Islah Islamiah yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1906 melalui penerbitan majalah Al-Imam telah diilhamkan oleh Gerakan Islah Islamiah dari Timur Tengah. Pada ketika itu juga, hubungan antara Tanah Melayu dengan Timur Tengah memang erat. Ramai orang Melayu yang menunaikan fardu haji dan menghantar anak mereka melanjutkan pengajian agama di Makkah selepas mereka tamat pengajian pondok.
Gerakan Islah Islamiah memperjuangkan:
  • Konsep Pan-Islamisme, iaitu satu gerakan menyatukan semua umat Islam di seluruh dunia dalam penentangan mereka terhadap peluasan kuasa Barat.
  • Membebaskan agama Islam daripada kepercayaan kuno yang tidak mengikut lunas-lunas agama Islam sebenar.
  • Mendesak supaya umat Islam supaya kembali kepada ajaran al-Quran dan Hadis.
  • Agama Islam dalam bentuk yang asli dan murni sebagai jalan penyelesaian kepada masalah politik dan sosial moden.
  • Agama Islam sebagai alat kemajuan bagi umat Islam.


2. Gerakan Pan-Islamisme
Gerakan ini adalah untuk mendorong semua dunia Islam bersatu di bawah naungan empayar Uthmaniyah untuk menyekat perluasan kuasa Barat. Gerakan ini telah mempengaruhi orang Islam di Tanah Melayu oleh negara Turki yang melancarkan perang Jihad terhadap kuasa Berikat  semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918). Di Singapura, Kassim Ismail Mansur dan Nur Alam Syah telah berusaha menyebarkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat Islam pada tahun 1915. Mereka telah menginisiatifkan Dahagi Singapura (1915) dengan memberi dorongan kepada askar sepoi India yang beragama Islam di Singapura supaya menentang British dengan memberi alasan bahawa Turki dan Jerman pasti akan menang dalam Perang Dunia Pertama.

3. Gerakan Turki Muda
Pada awal abad ke-20, gerakan perkembangan ini memberi kesan penting kepada orang Arab berlaku di Turki. Antara tujuan gerakan ini ialah:
  • Mendesak supaya diadakan pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan ketenteraan.
  • Memperjuangankan konsep satu bangsa, satu bahasa, dan satu negara.
  • Membangkitkan semangat nasionalisme di negara Turki.
  • Menyebarkan Gerakan Pan-Islamisme dalam menentang Barat.
  • Menitikberatkan kepentingan agama Islam.
  • Menguasai semula ekonomi negara daripada orang Yahudi.

Gerakan Turki Muda di telah mempengaruhi golongan intelektual di Tanah Melayu yang menganggapnya sebagai satu gerakan nasionalisme Islam yang berjaya mengatasi kelemahan dan kemunduran rakyat Turki. Di Tanah Melayu, pengaruh Gerakan Turki Muda ini tersebar dalam bidang politik pada tahun 1930-an.

4. Pengaruh dari Indonesia
Parti Nasional Indonesia ditubuhkan pada tahun 1927 oleh Soekarno telah mempengaruhi golongan nasionalisme Tanah Melayu. Pelajar-pelajar MPSI sangat terpengaruh dengan ideologi dan perjuangan PNI, iaitu perjuangan antipenjajahan. Semasa penubuhan PNI, ramai dari kumpulan ini menyertainya sebagai ahli-ahli seberang laut. Ibrahim Yaakob salah satu pelajar MPSI, ingin menubuhkan kesatuan politik dengan Indonesia dalam satu gabungan yang dikenali sebagai Melayu Raya atau Indonesia Raya. Ibrahim Yaakob berhubung rapat dengan Soekarno dalam perjuangan kemerdekaan dan mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan pihak British.

5. Perang Rusia-Jepun (1904-1905)
Jepun yang merupakan sebuah negara Asia yang kecil yang telah mengalahkan tentera Rusia, telah memberi semangat kepada golongan nasionalis di Tanah Melayu untuk mencabar British. Kejayaan Jepun ini menggemparkan negara-negara Asia dan melemahkan kepercayaan mereka bahawa kuasa Barat tidak boleh dikalahkan, padahal kuasa Barat tidaklah sekuat seperti yang disangka. Kejayaan Jepun juga telah membuktikan bahawa sebuah negara Asia boleh menjadi kuat melalui perkembangan pendidikan dan teknologi moden.

6. Pengaruh dari Negara Lain
a)      India
Dua gerakan telah muncul di India, iaitu gerakan yang dipimpin oleh Mahatma Gandhi dan Gerakan Khilafah yang dipimpin oleh Muhamad dan Shaukat Ali. Mahatma Gandhi telah memimpin Kongres Kebangsaan India untuk menuntut kemerdekaan daripada British. Pada tahun 1921, Khawaja Kamaludin menubuhkan Ajumani Islam di Singapura yang disokong oleh orang Melayu. Sikap anti kolonial rakyat India menyebabkan mereka menubuhkan persatuan-persatuan di Tanah Melayu menentang British. Pada tahun 1937, Pandit Jawaharlal Nehru, pemimpin Parti Kongres India menyampaikan ucapan kepada orang India di Kuala Kangsar semasa beliau melawat Tanah Melayu.
b)     China
Perkembangan di China telah mempengaruhi kesedaran kebangsaan di Tanah Melayu. Pada tahun 1911, Dr Sun Yat Sen, pemimpin utama Revolusi China berjaya menggulingkan kerajaan Manchu. Kejayaan ini telah membangkitkan kesedaran rakyat Tanah Melayu untuk menentang British. Gerakan 4 Mei 1919 di China juga memberi kesan kepada orang Cina di Tanah Melayu. Mereka telah membentuk pertubuhan untuk memberi bantuan kewangan demi menjayakan gerakan tersebut. Gerakan ini secara tidak langsung memberi perangsang kepada orang Cina menentang British di Tanah Melayu.
c)      Filipina
Gerakan Kesedaran Kebangsaan Filipina telah dimulakan oleh Jose Rizal yang memimpin Liga Filipina untuk menentang penjajahan Sepanyol. Jose Rizal mendapat sokongan kuat daripada golongan pertengahan yang berpendidikan Barat. Mereka menuntut agar Filipina dijadikan wilayah Sepanyol dan bangsa Filipina diberi hak yang sama dengan bangsa Sepanyol. Melalui gerakan ini telah memberi kesedaran kepada penduduuk di Tanah Melayu untuk bangkit dari terus dikuasai oleh kuasa asing.

Kesimpulan
Kesimpulannya, faktor-faktor ini mempunyai peranan yang tersendiri dalam membangkitkan semangat nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Contohnya ialah pengaruh agama Islam, peranan bahasa dan kesusasteraan, pengaruh kewartawanan, peranan pendidikan, dan peranan golongan intelektual. Selain itu, peranan pengaruh luar merupakan faktor penting kebangkitan nasionalisme Melayu. Akibatnya, timbul persatuan Melayu pada tahap-tahap berlainan. Kemudiannya, Kongres Melayu Se Malaya diadakan pada 9 Ogos 1939 bertujuan memupuk perpaduan di kalangan orang Melayu.






Comments

Popular posts from this blog

Konsep, Hierarki dan Pembesar

Bentuk Pemerintahan Persekutuan, Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen