Konsep, Hierarki dan Pembesar


SEJARAH MALAYSIA STPM

Soalan : Menghuraikan konsep, hierarki dan peranan pembesar.

1)   Konsep Pembesar
Berdasarkan Sejarah Melayu, istilah pembesar disebut sebagai Menteri Empat Orang dan sistem ini diperkenalkan oleh Megat Iskandar Shah, putera Raja Iskandar Shah (parameswara). Pembesar merujuk kepada mereka yang dilantik oleh raja untuk memegang sesuatu jawatan dalam pentadbiran kerajaan dengan diberi tugas-tugas tertentu untuk dilaksanakan. Pelatikan pembesar dilakukan oleh sultan dengan menghantar surat tauliah dan sebilah pedang sebagai lambang kuasa.  Pelantikan ini bertujuan mewujudkan satu sistem yang teratur serta menjamin keselamatan dan kemakmuran negeri secara berterusan.

2)   Hierarki Pembesar
Dalam hierarki masyarakat Melayu yang berbentuk piramid, pembesar merupakan golongan kedua yang penting setelah sultan. Sistem yang diamalkan di negeri-negeri Melayu digubal berdasarkan warisan Kesultanan Melayu Melaka iaitu Sistem Pembesar Empat Lipatan. Sistem ini didahului oleh empat orang pembesar utama, iaitu, Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Seterusnya, Pembesar Empat dibantu oleh Pembesar Lapan yang lebih rendah tarafnya seperti Syahbandar, Hulubalang Besar dan Penghulu. Manakala, Pembesar Lapan pula dibantu oleh Pembesar Enam Belas dan Pembesar Tiga Puluh Dua.
Sistem Pembesar Empat Lipatan diikuti oleh hampir semua negeri di Tanah Melayu tetapi menggunakan gelaran yang berbeza di setiap negeri. Sebagai contoh, sistem pembesar di Perak menggunakan gelaran Orang besar empat, orang besar lapan, orang besar enam belas dan orang besar tiga puluh dua. Di Selangor, gelaran pembesar ialah Tok Penggawa Permatang, Tok Kelang, Dato’ Naga dan Dato’Menteri. Bagi sistem pembesar di Negeri Sembilan pula agak berbeza berbanding negeri-negeri lain kerana mengamalkan Adat Pepatih. Mengikut adat ini, Negeri Sembilan terbahagi kepada beberapa daerah yang dipangil luak dan ketua bagi setiap luak bergelar Undang Berempat. Pembesar-pembesar lain pula digelar Lembaga, Buapak dan Perut @ anak buah.  

3)   Peranan Pembesar sebelum campur tangan British
i)  Peranan pembesar peringkat Daerah/jajahan
(a) Politik
Pembesar daerah memperolehi hak memerintah melalui surat tauliah daripada Sultan atau Yang Dipertuan Besar. Kawasan pentadbiran pembesar dikenali sebagai “kawasan pegangan” yang merupakan anugerah daripada sultan kerana jasa dan perkhidmatan cemerlang mereka atau menjadi pentadbir daerah atau jajahan. Sebagai contoh, di Perak, Long Jaafar dan Ngah Ibrahim mendapat hak memerintah larut, Dato’ Maharaja Lela di Pasir Salak dan Dato’ Sagor di Kampung Gajah. Sebagai balasan terhadap anugerah yang diberikan pembesar akan menunjukkan ketaatanya melalui istiadat menjunjung duli yang dilakukan di balairung seri ketika menghadap dan menyembah sultan.
Selain itu, kuasa politik dalam sesebuah daerah dimonopoli oleh pembesar sehinggakan mereka mempunyai kuasa untuk melantik raja. Misalnya, empat orang undang di Negeri Sembilan (Undang Jelebu, Undang Rembau, Undang Johor dan Undang Sugai Ujong) akan melantik Yang Dipertuan Besar mereka.
Pada abad ke-19 para pembesar mempunyai cap mohor sendiri dalam melaksanakan tugas. Sehingakan pembesar diibaratkan sebagai jambatan kerana menghubungkan rakyat dengan pemerintah untuk memastikan penduduk di bawah jagaan mereka taat kepada pemerintah.
Para pembesar akan menjadi penasihat atau ahli jemaah Penasihat Sultan dalam urusan pentadbiran dan memastikan kestabilan politik diwujudkan. Misalnya, di Kelantan, Sultan Muhammad I (1801-1836) telah melantik beberapa orang pembesar untuk membantu pentadbiran baginda. Di Johor, Sultan Abu Bakar (1862-1895) telah melantik Jemaah menteri untuk menasihati Sultan dalam pentadbiran negeri.
Para pembesar memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negeri. Mereka bertangungjawab untuk menyediakan dan membekalkan tenaga ketenteraan untuk mempertahankan Negara. Contohnya, di Negeri Sembilan, Lembaga menguruskan dan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan anak buahnya. Di Kelantan, hal ehwal pertahanan dan keselamatan negeri diuruskan oleh Jemaah menteri peperangan.
Pembesar juga berperanan dalam menjatuhkan hukuman terhadap kes-kes jenayah yang berlaku di daerah mereka kecuali hukuman bunuh yang hanya boleh dilaksanakan dengan izin daripada sultan.

(b) Ekonomi
Peranan pembesar peringkat daerah ialah memungut cukai di kawasan pentadbiran mereka. Namun tugas ini diserahkan kepada penghulu dan pemungut cukai. Cukai biasanya dipungut di pangkalan cukai yang didirikan di sepanjang sungai. Biasanya, barang dikenakan cukai sebanyak 10% dan dibayar dengan barang. Pembesar akan menyerahkan sebahagian daripada hasil cukai (ufti) kepada pemerintah sebagai tanda kesetiaan. Misalnya, Sultan Perak mendapat $6 daripada setiap bahara (400 paun) bijih timah yang dieksport dari mana-mana daerah di Perak.
Pembesar juga menjalankan kegiatan perdagangan tetapi dengan izin sultan. Namun, mereka tidak terlibat secara langsung kerana mereka hanya mengeluarkan modal. Urusan perdagangan dijalankan oleh wakil-wakil yang dilantik. Para pembesar turut memastikan urusan perdagangan dalam negeri berjalan lancar. Mereka menetukan timbangan dan sukatan yang betul untuk memudahkan urus niaga. Misalnya, Jemaah Menteri Pembendaharaan di Kelantan mengendalikan harta benda dan hasil mahsul negeri. Pembesar bertanggungjawab menjaga perniagaan daripada penceroboh lanun, mengawasi pedagang, menjaga hal ehwal pedagang asing, mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan barang.
Pembesar menguasai hasil perlombongan bijih timah dan menjalankan kegiatan perlombongan melalui sistem serah dan sistem kerah. Hasilnya, mereka memperolehi sumber pendapatan yang lumayan dan mampu menyara anak buah mereka. Ini menyebabkan terdapat dalam beberapa pembesar yang lebih kaya berbanding sultan.

(c) Sosial
Pembesar bertangungjawab menjaga kebajikan anak buahnya dan memastikan seluruh masyarakat di kawasannya taat kepada sultan. Pembesar dikehendaki membekalkan tenaga buruh untuk membina istana baharu, kapal untuk sultan, panggung atau pentas serta perhiasan istana untuk sesuatu perayaan melalui sistem kerah di kawasannya. Selain itu, pembesar menjadi hakim dalam sesuatu perbicaraan untuk menyelesaikan perselisihan yang berlaku di kawasan jajahanya.



ii) Peranan pembesar peringkat kampung

(a) Politik
Pembesar peringkat kampung atau lebih dikenali sebagai penghulu atau penggawa memainkan peranan untuk menjaga keamanan dan keselamatan kampung dibawah jagaannya dengan menyelesaikan perselisihan orang kampung melalui perundingan dan menjaga keamanan kampung dengan menangkap penjenayah.
 Seterusnya, penghulu turut melaksanakan tugas yang diarahkan oleh pembesar daerah dari masa ke semasa. Penghulu terletak di bawah kawalan pembesar daerah meskipun beliau dilantik oleh sultan melalui surat tauliah kerana kelulusan itu datang daripada pembesar daerah. Namun, di Terengganu, pada zaman pemerintahan Sultan Omar, penghulu bertanggungjawab terus kepada Sultan dan bukannya kepada pembesar daerah.
Penghulu biasanya dilantik dalam kalangan orang kampung yang tertua dan paling dihormati di kampungnya. Pelantikan penghulu dilakukan secara turun-temurun. Hubungan orang kampung dengan penghulu sangat rapat keran kebanyakkan penduduk kampung adalah saudara-mara beliau. Penghulu turut berkuasa penuh terhadap anak buahnya dan memastikan penduduk kampung taat setia kepada sultan.

(b) Sosial
Penghulu diarahkan untuk membekalkan dan menyediakan tenaga buruh kepada pembesar atau sultan. Penghulu akan mendapatkan penduduk kampung untuk menjalankan kerja-kerja membina istana, jambatan, terusan, kapal, mengerjakan sawah dan menghiaskan istana. Penghulu turut mengerahkan dan mengumpulkan penduduk kampung bagi membantu pembesar dan sultan dalam menghadapi peperangan atau ancaman musuh luar.

(c) Ekonomi
Penghulu memperolehi sumber pendapatan daripada pelbagai sumber misalnya, anak buah menyerahkan sebahagian daripada hasil mereka kepadanya atau anak buahnya akan membantunya dalam penanaman padi. Penghulu juga mendapat hasil melalui cukai pendapatan. Selain itu, penghulu juga melaksanakan sistem pungutan cukai di kampung jagaanya. Akan tetapi, sebahagian daripada cukai yang dikutip akan diserahkan kepada pembesar daerah dan yang lain akan menjadi pendapatannya.

4)   Peranan Pembesar Selepas Campur Tangan British    
i)             Pembesar Daerah
Selepas campur tangan British, kedudukan dan kewibawaan pembesar daerah sedikit demi sedikit dikurangkan apabila seorang pegawai British yang dikenali sebagai Pegawai Daerah telah mengambil alih tugas utama pembesar daerah iaitu mengutip cukai. Cukai merupakan sumber pendapatan utama pembesar daerah dan mencerminkan kedudukan dan kewibawaannya dalam kalangan masyarakat. Hasil negeri pula terletak dibawah tanggungjawab Pegawai Daerah British yang membahagikannya kepada sultan dan pembesar daerah melalui bayaran elaun dan pencen. Jelaslah bahawa pembesar hilang kewibawaanya selepas campur tangan British.
Pembesar daerah tidak dibenarkan untuk menyimpan hamba atau orang berhutang. Oleh yang demikian, pembesar daerah tidak lagi mempunyai pengikut yang ramai. Bukan itu sahaja, sistem kerah turut dihadkan untuk tugas kerajaan sahaja dan bukan untuk urusan peribadi. Pegawai daerah British, telah mengambil alih kebanyakan daripada tugas pentadbiran tempatan yang dijalankan oleh pembesar daerah. Kawalan keatas penghulu turut diambil alih oleh pegawai daerah British.

ii)            Peranan pembesar peringkat kampung/ penghulu
British mengekalkan institusi penghulu kerana pengaruh penghulu dalam pemerintahan kerajaan kolonoial amat penting bagi melaksanakan kemajuan. Penghulu menjadi wakil kerajaan di kampung-kampung mereka. Mereka tidak hanya mentadbir kampung mereka tetapi beberapa buah kampung atau mukim. Kampung ditadbir oleh seorang ketua kampung yang terletak dibawah jagaan seorang penghulu.
Peranan penghulu yang telah ditetapkan oleh Residen British ialah menjaga keselamatan, menyelesaikan perselisihan antara anak buahnya, mengutip cukai bagi pihak British dengan kebenaran menyimpan 10% untuk kegunaan sendiri, melaksanakan undang-undang British di dalam mukim jagaannya, menghakimi kes-kes kesalahan yang kecil dan menguruskan pemberian tanah kepada pemohon.
Pelantikan penghulu tidak lagi berdasarkan warisan tetapi berdasarkan kebolehan, kelayakan dan tahap pendidikan. Penghulu merupakan pegawai yang dibayar gaji dan diberi pencen. Beliau boleh ditukarkan untuk berkhidmat di mana sahaja mengikut keperluan. Penghulu memainkan peranan penting sebagai agen dan penghubung antara kerajaan British dengan penduduk kampungnya.

Kesimpulan
Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa peranan pembesar masyarakat Melayu Tradisional amat penting dari aspek politik, ekonomi dan sosial untuk melicinkan pentadbiran. Namun, peranan dan kewibawaan pembesar mulai terjejas apabila wujudnya campur tangan daripada British.


Comments

Popular posts from this blog

Faktor-faktor Kemunculan Nasionalisme pada abad ke-20

Bentuk Pemerintahan Persekutuan, Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen