Konsep dan Peranan Raja

SEJARAH MALAYSIA

Soalan: Menjelaskan konsep dan peranan Raja

KONSEP

Sebelum kedatangan Islam
Dalam masyarakat Melayu lama yang mengamalkan pengaruh Hindu-Buddha, amalan pemujaan dewa berkembang secara meluas di Alam Melayu pada Zaman Hindu-Buddha. Raja dianggap simbol tertinggi dalam order kosmos manakala rakyat berada di bawah penguasaanya. Raja dipercayai mempunyai kuasa suci dan berdaulat.
Kepercayaan yang mengangap raja sebagai pemerintah yang luhur dan suci yang merupakan penjelmaan dewa yang berasal dari kayangan berkait rapat dengan konsep devaraja. Gelaran raja dan maharaja yang digunakan dikaitkan dengan unsur ‘Devaraja’ dimana raja dipercayai jelmaan dewa Shiva, Vishnu dan Buddha.
            Baginda juga dipercayai memiliki kuasa magis serta dikaitkan dengan pelbagai mitos tentang asal-usul, jurai keturunan serta pemilikan kuasa fizikal yang luar biasa. Mengikut sejarah melayu, raja juga dikaitkan dengan konsep daulat dan derhaka yang dipercayai telah berakar umbi dari perjanjian yang telah dipersetuju antara Demang Lebar Daun yang mewakili pihak rakyat jelata dengan Sang Sapurba yang mewakili pihak raja.

Selepas kedatangan Islam
            Selepas pertapakan Islam pada abad ke-15M, gelaran ‘Raja’ dan ‘ Maharaja’  diganti dengan gelaran ‘Sultan’. Sultan mula dianggap sebagai pemimpin dan ketua agama Islam melalui konsep Amirul Mukminin. Bagi mengukuhkan kedudukan raja yang luhur dan suci, beberapa aspek khas diamalkan seperti mengaitkan baginda dengan asal-usul keturunannya dengan tokoh-tokoh terkenal seperti Iskandar Zulkarnain. Selain itu, penggunaan bahasa Istan , pemilikan peralatan khas seperti cap mohor, keris, lembing, kendi, ketur, dan sebagainya,alat muzik diraja seperti nobat, warna istimewa seperti payaung kuning untuk raja, payung putih untuk anak raja dan keluarga diraja. Baju berwarna putih atau kuning muda dikhaskan untuk raja sahaja dan dilarang orang lain memakainya.
            Rakyat juga dikehendaki mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap raja mereka yang turut dianggap sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Sesiapa yang melanggar perintah raja dianggap meningkari perintah Allah SWT.

Peranan-peranan Raja
Bidang politik dan pemerintahan
·                     Sebagai ketua kerajaan
Raja merupakan autoriti tertinggi dalam pemerintahan negara dan memerintah dengan kuasa mutlak serta dibantu oleh golongan para pembesar. Oleh itu, Raja bertanggungjawab menggubal undang-undang dan berperanan untuk menjamin kedaulatan kerajaan baginda. Contoh, Sultan Abu Bakar yang menggubal undang-undang Tubuh Negeri Johor 1985 dan Sultan Zainal Abidin yang telah menggubal undang-undang Tubuh Negeri Terengganu.

·                     Membentuk jentera dan pentadbiran kerajaan
Raja juga berkuasa membentuk jentera dan pentadbiran kerajaan dengan dibantu oleh Orang Besar Berempat, Orang Besar Lapan. Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga puluh Dua berdasarkan Sistem pembesar Empat Lipatan. Raja juga berkuasa melantik dan memecat para pembesar. Selain itu, raja akan menentukan bakal penggantinya ke takhta dalam takhta. Biasanya anak sulung dari keturunan anak gahara akan diisytiharkan sebagai Raja Muda.

·                     Menentukan hubungan diplomatik
Raja berjuasa menentukan hubungan diplomatik dengan kerajaan dan negara lain. Sebarang persetiaan yang dimeterai dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh Sultan.

·                     Ketua angkatan tentera
Raja juga akan menjadi ketua turus angkatan tentera dan akan memimpin angkatan perang di medan perang. Namun kebiasaannya, tugas di medan perang ini akan diserahkan kepada pembesar yang boleh dipercayai.

Bidang ekonomi
·                     Menjaga ekonomi kerajaan
Raja bertanggungjawab memakmurkan ekonomi kerajaan yang diperintah selaku Khalifah Allah SWT di muka bumi. Raja dianggap tuan punya segala tanah dan berkuasa mengurniakan tanah kepada sesiapa saja yang layak. Raja akan menguasai kewangan dan hasil ekonomi kerajaan sama ada hasil pertanian, perdagangan dan cukai dalam negeri.

·                Menentukan kadar cukai
Raja juga akan menentukan kadar cukai yang perlu dibayar oleh rakyat dan pedagang. Rakyat dan pembesar akan menyerahkan hasil mereka mengikut kadar yang telah ditetapkan melalui Sistem Serah kepada raja . contohnya, Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai bijih timah dari Kelang daripada Raja Mahadi.

Bidang sosial
·                     Penaung masyarakat Melayu
Dalam bidang sosial, Raja akan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Raja menjadi simbol perpaduan dalam kalangan rakyat dan amat dihormati. Oleh itu, sokongan dan kesetian rakyat perlu bagi membolehkan raja memerintah dengan berkesan dan penuh kewibawaan.

·                     Ketua agama Islam
Selain itu, raja juga berperanan sebagai ketua agama Islam. Baginda perlu memastikan syiar Islam berkembang dan agama Islam terpelihara kesuciannya. Baginda akan melantik para pemimpin agama untuk mentadbir dan membimbing rakyat. Manakala, Istana raja akan menjadi pusat kegiatan penyebaran Islam dan tempat menyimpan kitab-kitab suci Islam.

·                     Melaksanakan sistem kerah
Melalui sistem ini, rakyat secara sukarela akan bersedia melaksanakan sebarang titah raja yang mengerah tenaga merek. Contohnya, rakyat dikerah menjadi tentera bagi membantu kerajaan yang diancam oleh musuh atau diarahkan membina istana, jalan raya, masjid dan sebagainya. Sumbangan rakyat secara sukarela ini memperlihatkan kesetiaan rakyat kepada raja mereka. walaubagaimanapun, golongan bangsawan akan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi seperti golongan syed, golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana turut dikecualikan oleh raja dari sistem kerah.

Bidang judisiari
·                     Ketua hakim
Raja bertindak sebagai ketua hakim dan mempunyai kuasa pemutus yang tidak dimiliki oleh kerabat diraja dan pembesar lain. Hanya raja yang berkuasa menjatuhkan hukuman bunuh dalam kes jenayah yang melibatkan hukuman mati dan memberikan pengampunan kepada para pesalah dan penjenayah yang akan dijatuhkan hukuman mati. Raja kebal daripada sebarang hukuman. Raja melebihi undang-undang dan kuasa hukuman di tangannya. Raja boleh menganpunkan segala kesalahan walaupun yang melakukan kesalahan adalah dirinya sendiri.

·                     Menjamin keselamatan negara
Raja juga berperanan untuk menjamin kestabilan kestabilan negara dengan memastikan keadaan negara aman dan rakyat dilayan dengan adil. Segala titah perintah raja dianggap sebagai undang-undang dan perlu dipatuhi oleh semua tanpa mempersoalkannya. Kegagalan mematuhinya boleh dikira sebagai ingkar dan dianggap sebagai derhaka. Penderhaka dipercayai akan ditimpah tulah raja.

Kesimpulan
Kerajaan–kerajaan awal di di alam melayu telah mengamalkan pemerintahan beraja yang meletakkan raja sebagai individu yang berkuasa mutlak. Sistem beraja di tanah Melayu sebelum abad ke-15M merupakan gabungan sistem kepercayaan tradisional tempatan dan pengaruh agama Hindu-Buddha serta Islam. Raja memegang jawatan penting, berkuasa menggubal undang-undang  untuk mengukuhkan kedudukannya, menjatuhkan hukuman mati dan bertindak mengikut keperluannya.

Comments

Popular posts from this blog

Faktor-faktor Kemunculan Nasionalisme pada abad ke-20

Konsep, Hierarki dan Pembesar

Bentuk Pemerintahan Persekutuan, Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen